Skip to the main content block
::: Utama| Peta laman|
|
Language
Berita Terpopular
繁體中文 简体中文 English Français Deutsch Indonesian 日本語 한국어 Русский Español ภาษาไทย Tiếng Việt Tagalog Bahasa Melayu Українська Panduan Laman Web

Pejabat Pelancongan Taiwan Lancar "Pelancongan Lautan Matsu 2025", Promosi Pelancongan Mendalam ke Matsu

04/06/2025 20:01
Editor: 李婉琳
Siri aktiviti "Pelancongan Lautan Matsu 2025" telah diumumkan secara rasmi bermula pada 4 Jun.
(Foto ihsan Pejabat Pelancongan / Laporan oleh wartawan CNA Yu Hsiao-han余曉涵)
Siri aktiviti "Pelancongan Lautan Matsu 2025" telah diumumkan secara rasmi bermula pada 4 Jun. (Foto ihsan Pejabat Pelancongan / Laporan oleh wartawan CNA Yu Hsiao-han余曉涵)

Pejabat Pelancongan Taiwan pada hari ini secara rasmi melancarkan kempen “Pelancongan Lautan Matsu Pejabat Pelancongan Taiwan pada hari ini secara rasmi melancarkan kempen “Pelancongan Lautan Matsu 2025”, sebuah inisiatif promosi pelancongan musim panas yang akan berlangsung dari Jun hingga September. Siri aktiviti ini menampilkan tiga acara utama, iaitu “Melihat Juguang dari Laut”, “Melihat Dongyin dari Laut”, dan “Konsert Pasar Hujung Minggu Teluk Mabi di Beigan”, bertujuan menarik pelancong untuk mengenal lebih dekat keindahan pulau-pulau Matsu dari perspektif maritim.

Fenomena semula jadi "Air Mata Biru" Matsu, yang telah diiktiraf CNN sebagai salah satu daripada 15 keajaiban alam dunia, saban tahun menarik ribuan pelancong dari Mac hingga April. Namun, pihak berkuasa pelancongan menekankan bahawa daya tarikan Matsu tidak terhad kepada fenomena tersebut. Kepulauan ini turut menampilkan landskap hakisan laut yang unik dan sumber ekologi yang kaya, termasuk Kawasan Perlindungan Burung Terumbu yang menempatkan lebih 30 spesies burung, antaranya spesies langka burung camar jambul hitam (black-faced tern), yang turut dikenali sebagai “burung mitos”.

Menurut Pejabat Pengurusan Kawasan Pemandangan Nasional Matsu, pelaksanaan kempen pelancongan maritim ini bertujuan menggalakkan pelancong untuk menikmati landskap semula jadi dan warisan budaya Matsu dari sudut pandang laut. Kepulauan Matsu terdiri daripada empat daerah dan lima pulau, yang masing-masing mempunyai latar belakang sejarah ketenteraan serta seni bina bergaya Fujian Timur yang tersendiri.

Timbalan Ketua Pejabat Pelancongan Taiwan, Huang Shi-fang(黃勢芳), menjelaskan bahawa keadaan geologi Matsu yang terbentuk daripada batuan igneus menjadikan perairannya berisiko, terutama disebabkan arus bawah laut yang tidak kelihatan. “Namun, musim pelancongan yang sesuai pada pertengahan tahun menjadikan cuaca sangat panas, dan waktu tengah hari biasanya diisi dengan rehat di hotel. Oleh itu, kami percaya aktiviti rekreasi air yang dirancang pada waktu petang dan malam dapat memanjangkan tempoh lawatan serta meningkatkan kualiti pengalaman pelancongan. Keselamatan pelancong tetap menjadi keutamaan kami,” katanya.

Siri “Pelancongan Lautan Matsu 2025” akan dimulakan dengan program “Melihat Juguang dari Laut” yang berlangsung pada Jun dan Julai. Aktiviti ini terbuka kepada dua orang sahaja untuk satu pelayaran, dan peserta berpeluang menyaksikan pelbagai spesies burung langka, landskap laut termasuk “laut berbentuk petak”, serta keindahan gugusan batuan laut yang unik.

Seterusnya, program “Melihat Dongyin dari Laut” akan berlangsung pada Julai hingga Ogos. Dongyin, dikenali sebagai “sempadan utara negara”, menonjolkan keindahan geologi dengan tebing curam, batuan aneh, dan landskap hakisan laut yang menakjubkan.

Sebagai penutup, dari Jun hingga September akan diadakan “Konsert Pasar Hujung Minggu Teluk Mabi” di Beigan. Aktiviti ini merangkumi pelayaran sekitar Beigan, aktiviti papan dayung SUP, karnival jala tradisional (Qian-gu), pasar tempatan, dan konsert muzik hujung minggu yang dijangka menarik minat pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

Pengarah Pejabat Kawasan Pemandangan Nasional Matsu, Hong Zhiguang(洪志光), menyatakan bahawa musim Air Mata Biru kini berada di kemuncaknya dan dijangka berlanjutan hingga pertengahan September. Walaupun penerbangan bulan Jun telah penuh, masih terdapat kekosongan pada musim cuti sekolah. Tambahan pula, Mandarin Airlines akan memulakan penerbangan terus dari Kaohsiung ke Matsu pada 6 Jun, sekali gus memudahkan pengunjung dari kawasan selatan.

Bagi pelancong keluarga, pihak berkuasa mengesyorkan perjalanan menaiki feri penumpang baharu dari Pelabuhan Keelung ke Matsu setiap malam jam 10:30 malam. Jadual ini membolehkan pelancong tiba di Matsu pada awal pagi keesokan harinya untuk menyambut matahari terbit, sambil menjimatkan kos penginapan dan memperkayakan pengalaman pelancongan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi Pejabat Kawasan Pemandangan Nasional Matsu atau laman Facebook "Matsu Ai Pa GO"(馬祖愛趴GO臉書粉絲專頁).

為提供您更好的網站服務,本網站使用cookies。

若您繼續瀏覽網頁即表示您同意我們的cookies政策,進一步了解隱私權政策。 

我了解