Pentadbiran Pelancongan Taiwan hari ini (4 Jun) mengumumkan bahawa perlumbaan berbasikal berprestij dunia, L’ÉTAPE by Tour de France, yang terkenal sebagai cabaran berbasikal paling bersejarah dan terbesar di dunia, akan kembali ke Sun Moon Lake, yang tersenarai sebagai salah satu daripada 10 laluan berbasikal tercantik di dunia. Edisi kedua perlumbaan ini, dinamakan L’ÉTAPE SUN MOON LAKE oleh Nutrilite, bakal berlangsung pada 18 Oktober 2025, sekali lagi membawa Taiwan ke pentas antarabangsa!
Perlumbaan L’ÉTAPE pertama di Asia bagi tahun 2025 akan berlangsung di Sun Moon Lake, Nantou, Taiwan. Acara bertaraf dunia ini pertama kali diadakan di Taiwan pada tahun lalu, dan berjaya menarik lebih daripada 3,000 pelumba dari 30 buah negara, sekali gus mengukuhkan imej Taiwan sebagai destinasi pelancongan sukan berbasikal bertaraf antarabangsa.
Pada 4 Jun, Pengarah Pentadbiran Pelancongan Taiwan Chou Yung-hui(周永暉) bersama Pengarah Institut Perancis di Taiwan Franck Roger Paul Paris-Vilaceque secara rasmi mengumumkan bahawa pendaftaran untuk edisi kedua telah dibuka hingga akhir Julai. Setakat ini, peserta dari 40 buah negara telah mendaftar, dan dijangka lebih 3,500 pelumba dari lebih 40 negara akan menyertai perlumbaan tahun ini. Malah, seorang jaguh berbasikal dari Belgium yang pernah menjuarai 9 kali perlumbaan turut akan hadir bagi menyahut cabaran di Sun Moon Lake.
Menurut Chou, disebabkan kejayaan edisi pertama, ramai berharap acara tahun ini diperluas skalanya. Maka selain kategori utama, kategori basikal elektrik (e-bike) mesra seisi keluarga turut diperkenalkan. Tambahan pula, satu hadiah wang tunai berjumlah NT$100,000 ditawarkan khas kepada pelumba Taiwan terbaik. Chou turut mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur perlumbaan L’ÉTAPE kerana sekali lagi memilih Sun Moon Lake, yang menurutnya, menandakan satu lagi detik penting dalam sejarah pelancongan antarabangsa Taiwan.
Beliau berkata:"Perlumbaan Tour de France mempunyai sejarah lebih 100 tahun di Perancis. Untuk Taiwan terlibat dalam siri perlumbaan ini, kami telah melalui proses pemilihan yang amat ketat. Tahun lalu, kami berjaya menganjurkannya dengan cemerlang, dan keputusan untuk kembali ke Sun Moon Lake membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha kami. Taiwan mempunyai tasik pergunungan yang sangat indah, dan menggabungkan keindahan ini dengan perlumbaan L’ÉTAPE adalah satu penanda aras penting bagi pelancongan Taiwan."
Chou juga menekankan bahawa Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB telah menggalakkan pelancongan rendah karbon pasca pandemik. Sehubungan itu, Taiwan telah lama membangunkan kemudahan seperti laluan kereta api, laluan pejalan kaki, dan laluan berbasikal. Kini, jumlah laluan berbasikal di seluruh negara telah melebihi 5,000 kilometer.
Akhir sekali, Chou menyeru para peminat sukan dan pelancong:"Kalau nak beli basikal – datanglah ke Taiwan. Kalau nak berbasikal – juga datanglah ke Taiwan! Jangan lupa untuk berkunjung ke Taiwan pada bulan Oktober dan saksikan keindahan suasana pagi dan senja di Sun Moon Lake sambil menyaksikan perlumbaan L’ÉTAPE pada 18 Oktober nanti!"
(Untuk butiran, sila layari laman web rasmi acara "L’ÉTAPE Tour de France Cycling Challenge - Nutrilite • Sun Moon Lake Station": https://letapesunmoonlake.com)