Skip to the main content block
::: Utama| Peta laman|
|
Language
Berita Terpopular
繁體中文 简体中文 English Français Deutsch Indonesian 日本語 한국어 Русский Español ภาษาไทย Tiếng Việt Tagalog Bahasa Melayu Українська Panduan Laman Web

Ancaman Tarif Trump Dorong Negara Ekonomi Baharu Tingkatkan Kerjasama – Laporan New York Times

08/07/2025 21:13
Editor: Eric Yong
Amerika Syarikat telah menggerakkan dasar tarif seimbang, yang mendorong negara-negara BRICS untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara satu sama lain dan menjadikan urusan perdagangan lebih lancar. (Gambar hiasan: Sidang Kemuncak BRICS)
Amerika Syarikat telah menggerakkan dasar tarif seimbang, yang mendorong negara-negara BRICS untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara satu sama lain dan menjadikan urusan perdagangan lebih lancar. (Gambar hiasan: Sidang Kemuncak BRICS)

Pelaksanaan tarif perdagangan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mendorong negara-negara dalam kumpulan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) untuk memperkukuh kerjasama dua hala dan merancakkan perdagangan antara sesama mereka. 

Laporan New York Times pada 7 Julai menegaskan bahawa langkah ini memberi kesan besar kepada lanskap ekonomi global, dengan sekutu perdagangan AS mula mencari pasaran alternatif.

Pada 2 April lalu, sempena apa yang disebut sebagai "Hari Pembebasan", Trump mengumumkan pelaksanaan tarif seragam ke atas sebahagian besar rakan perdagangan AS. Hanya beberapa hari kemudian, beliau menangguhkan pelaksanaan selama 90 hari untuk memberi ruang rundingan perdagangan, sebelum mengumumkan kadar tarif baharu pada 7 Julai terhadap 14 negara termasuk Jepun dan Korea Selatan, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos.

Dalam sidang kemuncak dua hari BRICS di Rio de Janeiro, para pemimpin dari lima negara tersebut berikrar untuk menyelaraskan hubungan serta mengurangkan halangan birokrasi dalam perdagangan. Walaupun tidak menyebut secara langsung nama Trump atau Amerika Syarikat, mereka mengecam sekatan perdagangan antarabangsa dan menegaskan hak negara anggota untuk bertindak balas terhadap tarif yang dianggap tidak adil.

Gabungan BRICS kini merangkumi lebih 40% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, menunjukkan pengaruhnya yang semakin besar dalam dunia perdagangan.

Menurut New York Times, kumpulan BRICS yang ditubuhkan pada tahun 2009 bertujuan memperkukuh pengaruh geopolitik dan ekonomi negara-negara ekonomi baharu. Sejak penubuhannya, BRICS telah berkembang dengan menyerap anggota baharu termasuk Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu, serta menjalinkan hubungan rakan kongsi yang fleksibel dengan negara-negara lain.

Salah satu cadangan terkini ialah penubuhan bursa perdagangan bijirin untuk menyaingi platform komoditi utama yang dikawal Amerika Syarikat dan Eropah. Cadangan ini dibawa oleh Rusia untuk mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS, meningkatkan perdagangan antara negara BRICS dan berpotensi meliputi produk pertanian lain.

BRICS juga sedang meneliti sistem pembayaran antarabangsa alternatif yang membolehkan perdagangan menggunakan mata wang tempatan. Ini dianggap sebagai strategi untuk mengelak sekatan Barat terhadap negara seperti Rusia, khususnya berkaitan konflik di Ukraine.

Dominasi China dan Rusia dalam BRICS, serta penyertaan Iran dan beberapa negara lain, mencetuskan kebimbangan bahawa BRICS mungkin berubah menjadi platform anti-Barat. Walau bagaimanapun, Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva menafikan andaian tersebut dan menegaskan bahawa BRICS wujud untuk mengimbangi tumpuan kuasa global yang selama ini dikawal oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Barat.

為提供您更好的網站服務,本網站使用cookies。

若您繼續瀏覽網頁即表示您同意我們的cookies政策,進一步了解隱私權政策。 

我了解