Presiden Taiwan, Lai Ching-te (賴清德), dalam satu wawancara eksklusif bersama hos program radio Amerika, Buck Sexton, menyentuh pelbagai isu termasuk hubungan rentas selat, keselamatan serantau, pertahanan negara, kerjasama ekonomi Taiwan-Amerika Syarikat serta dasar kebajikan sosial Taiwan. Kandungan wawancara tersebut telah disiarkan awal pagi ini, dan Pejabat Presiden turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya.
Ketika ditanya mengenai hubungan antara Taiwan dan China, Presiden Lai merujuk kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang pernah menyatakan bahawa Presiden China, Xi Jinping, telah menghubunginya dan memberi jaminan bahawa China tidak akan menyerang Taiwan sepanjang tempoh pentadbiran Trump. Presiden Lai menyatakan harapan agar Taiwan terus menerima sokongan daripada Trump, dan menambah bahawa sekiranya Trump berjaya meyakinkan Xi Jinping untuk selama-lamanya menolak tindakan ketenteraan terhadap Taiwan, beliau pasti layak menerima Hadiah Nobel Keamanan.
Presiden Lai turut menegaskan bahawa beliau berharap masyarakat antarabangsa yang prihatin terhadap hubungan Taiwan-China memahami bahawa Republik China (Taiwan) dan Republik Rakyat China adalah entiti yang tidak saling tertakluk, dan Taiwan bukan sebahagian daripada China. Katanya, China tidak mempunyai hak untuk mencabuli kedaulatan Taiwan, dan tindakan China menjalankan latihan ketenteraan di Selat Taiwan adalah pencabulan terhadap status quo, bukan oleh Taiwan, tetapi oleh China.
Beliau menekankan bahawa rakyat Taiwan mempertahankan kedaulatan negara serta mengamalkan kehidupan yang berteraskan demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia. Perkara ini tidak seharusnya ditafsir sebagai provokasi terhadap China. Walaupun Taiwan berdepan ancaman yang semakin meningkat dari China, negara ini tetap komited untuk mencari jalan damai dan kemakmuran bersama antara kedua-dua pihak.
Presiden Lai turut mengulangi komitmennya terhadap "Pelan Tindakan Empat Tonggak Keamanan" yang dilaksanakan sejak beliau memegang jawatan, merangkumi: Pengukuhan keupayaan pertahanan negara, Peningkatan daya tahan ekonomi, Kerjasama erat dengan negara-negara demokrasi seperti Amerika Syarikat untuk memperkukuh daya cegah bersama, dan kesediaan Taiwan untuk berunding dengan China secara setara dan bermaruah, demi mencapai matlamat damai dan kemakmuran bersama melalui dialog dan kerjasama.
Dalam wawancara eksklusif bersama hos radio konservatif Amerika, Buck Sexton, Presiden Taiwan Lai Ching-te menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketenteraan China di rantau Indo-Pasifik dan menyeru agar Amerika Syarikat terus memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan serantau.
Apabila ditanya apakah yang ingin beliau sampaikan kepada Presiden Donald Trump sekiranya berpeluang berbincang secara langsung, Presiden Lai berkata beliau akan menasihati Trump agar memberi perhatian serius terhadap tindakan Presiden China Xi Jinping yang bukan sahaja meningkatkan skala latihan ketenteraan di Selat Taiwan, tetapi turut memperluas kehadiran tentera di Laut China Timur dan Selatan. Menurut beliau, aktiviti ketenteraan China kini telah meliputi seluruh rantau Indo-Pasifik.
Presiden Lai menegaskan bahawa perubahan berterusan dan ketegangan yang meningkat di rantau Indo-Pasifik bukan sekadar isu berkaitan Taiwan. Sekiranya Taiwan ditakluki, China akan memperoleh kelebihan strategik untuk bersaing dengan Amerika Syarikat di peringkat global dan berpotensi mengubah sistem antarabangsa yang berasaskan peraturan. Akhirnya, ini boleh menjejaskan kepentingan domestik Amerika Syarikat. Justeru, beliau berharap Trump akan terus mempertahankan keamanan dan kestabilan rantau Indo-Pasifik.
Dalam wawancara yang sama, Sexton turut bertanya mengenai kerjasama ekonomi Taiwan-Amerika dalam bidang teknologi canggih, pembuatan cip dan kecerdasan buatan (AI), khususnya berkaitan pembinaan kilang TSMC di Arizona yang menarik perhatian global.
Presiden Lai menyatakan bahawa kejayaan industri teknologi Taiwan adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, akademia dan penyelidikan selama beberapa dekad, serta sokongan padu rakyat Taiwan. Namun beliau dengan rendah hati menekankan bahawa TSMC dan industri semikonduktor Taiwan hanyalah sebahagian daripada ekosistem global. Ekosistem ini turut melibatkan inovasi dan reka bentuk dari Amerika Syarikat, bahan dan peralatan dari Jepun, memori pantas dari Korea Selatan, pembuatan wafer logik dari Taiwan, serta peralatan penting dari Belanda.
Presiden Lai menjelaskan bahawa Amerika Syarikat memperoleh sekitar 80% manfaat daripada keseluruhan ekosistem semikonduktor dan masih memegang kedudukan utama. Dalam menghadapi era AI yang semakin hampir, beliau percaya setiap negara dalam ekosistem ini memainkan peranan penting. Taiwan bersedia bekerjasama dengan Amerika untuk menyokong usaha perindustrian semula dan menjadikan AS sebagai pusat dunia bagi kecerdasan buatan, demi memastikan kepimpinan global Amerika terus kukuh dan berdaya saing.
Beliau turut menekankan bahawa Taiwan melihat industri semikonduktor sebagai tanggungjawab penting terhadap kemakmuran masa depan dunia. Oleh itu, kerajaan Taiwan menyokong pelaburan TSMC di Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman. Presiden Lai yakin bahawa TSMC akan memainkan peranan utama dalam usaha perindustrian semula Amerika dan pembangunan pusat AI global.
Buck Sexton dikenali sebagai tokoh konservatif yang menyokong gerakan "Make America Great Again" (MAGA). Beliau mempunyai hubungan rapat dengan anak-anak Presiden Trump dan pernah beberapa kali menemui Trump secara peribadi. Sexton merupakan bekas penganalisis CIA yang pakar dalam isu keganasan, Timur Tengah dan Iraq, serta pernah berkhidmat dalam unit risikan NYPD sebelum beralih ke dunia media. Beliau pernah menjadi editor keselamatan negara dan hos program di media konservatif TheBlaze, dan kini dikenali sebagai pengulas keselamatan nasional berhaluan kanan.
Program radio yang dikendalikan oleh Sexton bersama Clay Travis , "The Clay Travis and Buck Sexton Show" dianggap antara program konservatif paling berpengaruh di Amerika, membincangkan isu politik, ekonomi, keselamatan dan budaya secara mendalam.
Difahamkan, wawancara tersebut turut dihadiri oleh penyelidik kanan Pusat Asia Heritage Foundation, Stephen J. Yates, serta dua adik-beradik Sexton, Mason dan Keats. Selepas sesi wawancara, satu perbincangan tertutup selama sejam telah diadakan, dengan suasana yang sangat mesra dan terbuka.