Jepun kini berdepan kemungkinan penyusunan semula politik besar-besaran selepas gabungan pemerintah antara Parti Demokratik Liberal (LDP) dan Parti Komeito yang telah bertahan selama 26 tahun secara rasmi berakhir. Perkembangan ini menjejaskan peluang Sanae Takaichi, Presiden baharu LDP, untuk menjadi wanita pertama dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun.
Perpecahan berlaku hanya beberapa hari selepas Takaichi dipilih sebagai Presiden LDP pada 4 Oktober. Parti Komeito dilaporkan menarik diri kerana tidak berpuas hati dengan sikap LDP yang dianggap pasif dalam menangani skandal dana politik yang berlarutan.
Ketua Komeito, Tetsuo Saito, menyifatkan keputusan itu sebagai langkah tegas untuk menamatkan hubungan politik yang tidak lagi selari dengan prinsip parti Ketiadaan sokongan Komeito meletakkan LDP dalam kedudukan sukar menjelang pemilihan Perdana Menteri di Parlimen yang dijadualkan pada 20 Oktober. LDP kini perlu mencari sokongan daripada parti pembangkang lain untuk memastikan Takaichi memperoleh majoriti undi.
Menurut penganalisis politik dari Universiti Hosei, Prof. Shiratori Hiroshi, situasi ini mencetuskan ketidaktentuan baharu dalam demokrasi Jepun. “Tiada parti yang kini memiliki kuasa dominan di kedua-dua dewan Parlimen. Ini membuka ruang kepada rundingan silang parti dan kemungkinan pembentukan kerajaan sementara,” katanya.
Takaichi menyifatkan keputusan Komeito sebagai “sepihak” dan berikrar akan berusaha sedaya upaya untuk meraih sokongan majoriti. Namun, Ketua Komeito telah menolak kemungkinan menyokong Takaichi dalam pemilihan akan.
Dalam perkembangan berkaitan, Takaichi dilaporkan telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Yuichiro Tamaki, Ketua Parti Demokratik Nasional, yang dilihat sebagai pesaing utama dalam perebutan jawatan Perdana Menteri. Jika parti pembangkang bersatu menyokong satu calon, Parti Demokratik Perlembagaan Jepun berpotensi meraih manfaat besar daripada krisis ini.
Keadaan politik Jepun yang tidak menentu ini berlaku menjelang lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Tokyo hujung Oktober. Ketidaktentuan ini dijangka memberi kesan kepada hubungan diplomatik dan pasaran kewangan, yang sebelum ini menunjukkan reaksi positif terhadap pemilihan Takaichi sebagai Presiden LDP Perdana Menteri sedia ada, Shigeru Ishiba, yang memimpin kerajaan minoriti sejak setahun lalu, dijangka berundur selepas gabungan pemerintahnya gagal mempertahankan majoriti dalam kedua-dua dewan. Pemilihan Perdana Menteri baharu akan berlangsung dalam dua pusingan, dan calon yang memperoleh undi terbanyak akan dilantik, meskipun tanpa majoriti mutlak.
Laporan ini disunting oleh Liu Xianghua (柳向華).