Kementerian Tenaga Kerja pada 23hb mengumumkan bahawa satu “Pelan Bantuan Hak Undang-undang bagi Pekerja dan Keluarga Mangsa Kemalangan Pekerjaan” akan dilancarkan tahun depan. Pelan ini akan menyediakan sokongan undang-undang yang menyeluruh, bermula daripada analisis awal punca kemalangan, konsultasi dengan peguam profesional, bimbingan dalam proses rundingan dan mediasi, sehinggalah kepada bantuan guaman di mahkamah bagi memastikan pekerja dan keluarga mangsa kemalangan pekerjaan mendapat pampasan dan ganti rugi yang sewajarnya.
Menurut statistik Kementerian Tenaga Kerja bagi tahun 2024, kira-kira 30% kes kematian akibat kemalangan pekerjaan mencapai jumlah penyelesaian (wang pampasan) kurang daripada NT$3 juta. Menteri Tenagakerja Hung Shen-han mengakui bahawa jumlah ini memang terlalu rendah. Beliau memberi contoh, pada April tahun lalu, seorang pekerja, Encik C, meninggal dunia akibat terjatuh kerana struktur keluli tidak mempunyai langkah keselamatan. Disebabkan keluarga tidak tahu punca sebenar kemalangan, mereka tidak tahu bagaimana hendak berunding dengan majikan, malah tidak pasti siapa yang harus dipertanggungjawabkan kerana projek itu melibatkan beberapa kontraktor. Isteri Encik C pula ialah pasangan asing, jadi proses berunding dengan pihak kontraktor menjadi lebih sukar. Dalam satu lagi kes, Encik M mengalami lumpuh seluruh badan akibat kemalangan kren, namun majikannya hanya bersedia menanggung NT$1 juta kos rawatan perubatan.
Hung menegaskan bahawa selepas berlakunya kemalangan pekerjaan, pekerja bukan sahaja terjejas dari segi fizikal dan mental, tetapi juga berdepan tekanan ekonomi dan kekangan untuk menuntut hak mereka. Dalam keadaan maklumat tidak seimbang, tekanan kewangan, dan kesukaran mendapatkan bantuan undang-undang, pekerja sering berada dalam kedudukan yang lemah ketika berunding atau mencapai penyelesaian dengan majikan.
Oleh itu, Kementerian Tenaga Kerja akan melancarkan “Pelan Bantuan Hak Undang-undang bagi Pekerja dan Keluarga Mangsa Kemalangan Pekerjaan”, yang merangkumi pelbagai langkah sokongan menyeluruh seperti penyediaan awal laporan pemeriksaan oleh agensi pemeriksaan buruh, bantuan guaman sepenuhnya sepanjang proses, serta bantuan undang-undang tanpa had ke atas kemampuan kewangan bagi kes kematian atau kecederaan parah. Pelan ini juga bertujuan meningkatkan jumlah pampasan dalam rundingan, mediasi dan tindakan mahkamah, memastikan majikan menanggung tanggungjawab sepenuhnya terhadap kemalangan pekerjaan, menyediakan pendahuluan bayaran cagaran bagi proses perintah sitaan sementara terhadap aset majikan, serta menawarkan bantuan terjemahan dan jurubahasa sepenuhnya kepada pekerja migran yang menjadi mangsa kemalangan pekerjaan.
Ketua Bahagian Hubungan Pekerjaan, Wang Hou-wei, menjelaskan bahawa sekiranya mediasi gagal dan kes perlu dibawa ke mahkamah, majikan mungkin cuba memindahkan aset. Dalam keadaan ini, jika perlu memohon perintah sitaan sementara, Kementerian Tenaga Kerja akan membantu mendahulukan wang cagaran yang diperlukan oleh mahkamah. Wang berkata, “Mahkamah biasanya meminta wang cagaran sebanyak satu persepuluh daripada jumlah tuntutan. Tetapi jumlah tuntutan bagi kes kemalangan pekerjaan biasanya agak besar, jadi walaupun hanya satu persepuluh, ia tetap merupakan beban kewangan berat bagi pekerja atau keluarga mereka. Disebabkan ini, ada yang tidak mampu memohon perintah sitaan terhadap majikan.”
Memandangkan ramai mangsa kemalangan pekerjaan ialah pekerja migran, Wang turut menyatakan bahawa had bayaran bagi khidmat penterjemah dan terjemahan akan dinaikkan kepada NT$100,000, bagi mengelakkan halangan bahasa menjejaskan hak tuntutan mereka. Selain itu, jika keluarga mangsa menghadapi kesukaran hidup semasa proses perbicaraan, mereka juga boleh memohon bantuan sara hidup sementara, yang akan dikecualikan daripada penilaian kemampuan kewangan, supaya keluarga dapat menerima sokongan ekonomi dengan segera untuk melalui waktu sukar tersebut.