Skip to the main content block
::: Utama| Peta laman|
|
Language
Berita Terpopular
繁體中文 简体中文 English Français Deutsch Indonesian 日本語 한국어 Русский Español ภาษาไทย Tiếng Việt Tagalog Bahasa Melayu Українська Panduan Laman Web

Julapun Amornvivat Dilantik Sebagai Ketua Baharu Parti Pheu Thai Selepas Paetongtarn Shinawatra Letak Jawatan

01/11/2025 05:03
Editor: Eric Yong
Salah satu parti politik terbesar di Thailand, Parti Pheu Thai, telah memilih ketua baharu pada 31 Oktober — bekas Timbalan Menteri Kewangan, Julapun Amornvivat. (Reuters/Dazhi Images)
Salah satu parti politik terbesar di Thailand, Parti Pheu Thai, telah memilih ketua baharu pada 31 Oktober — bekas Timbalan Menteri Kewangan, Julapun Amornvivat. (Reuters/Dazhi Images)

Parti Pheu Thai, salah satu parti politik terbesar di Thailand yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, telah memilih Julapun Amornvivat sebagai ketua baharu parti pada hari Khamis. Julapun merupakan bekas Timbalan Menteri Kewangan dan ahli parlimen dari wilayah Chiang Mai.

Pelantikan ini dibuat susulan peletakan jawatan Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan Thaksin dan bekas ketua parti, yang mengundurkan diri minggu lalu. Paetongtarn, 39 tahun, sebelum ini dilucutkan jawatan sebagai perdana menteri oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Ogos lalu atas dakwaan melanggar etika ketika menangani isu sempadan dengan Kemboja.

Penganalisis politik melihat peletakan jawatan Paetongtarn sebagai langkah strategik untuk melindungi Parti Pheu Thai daripada cabaran undang-undang yang berpotensi, dan mungkin menandakan pengakhiran pengaruh politik keluarga Shinawatra yang telah mendominasi arena politik Thailand selama beberapa dekad.

Dalam siaran langsung di laman Facebook rasmi parti, Julapun menyatakan rasa terhormat atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli parti. “Saya amat berbesar hati menerima tanggungjawab ini dan berterima kasih kepada semua ahli atas sokongan mereka,” katanya kepada media selepas pengundian.

Julapun, 50 tahun, ialah anak kepada tokoh politik veteran Sompong Amornvivat, yang pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan mengetuai Parti Pheu Thai pada tahun 2019. Semasa kempen pilihan raya 2023, Sompong memainkan peranan penting dalam mempromosikan dasar parti termasuk cadangan pemberian tunai sebanyak 10,000 baht (kira-kira USD300) dan pengesahan kasino.

Walau siapa pun yang memimpin, pemerhati politik menjangkakan Parti Pheu Thai akan terus dipengaruhi oleh Thaksin dan keluarganya. Dalam dua dekad terakhir, keluarga Shinawatra menjadi pencabar utama kepada golongan pro-tentera dan monarki konservatif Thailand, yang menganggap pendekatan populis Thaksin sebagai ancaman kepada struktur sosial tradisional negara.

Thaksin menubuhkan pendahulu kepada Parti Pheu Thai pada akhir 1990-an, sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa tahun 2006 dan hidup dalam buangan selama lebih sedekad. Kini berusia 76 tahun, beliau sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan rasuah semasa pentadbirannya.

(Disunting oleh: Yang Ling (楊翎) )

 

為提供您更好的網站服務,本網站使用cookies。

若您繼續瀏覽網頁即表示您同意我們的cookies政策,進一步了解隱私權政策。 

我了解