Skip to the main content block
::: Utama| Peta laman|
|
Language
Berita Terpopular
繁體中文 简体中文 English Français Deutsch Indonesian 日本語 한국어 Русский Español ภาษาไทย Tiếng Việt Tagalog Bahasa Melayu Українська Panduan Laman Web

Presiden Lai: Melabur dalam pertahanan bermakna melabur untuk keamanan

03/11/2025 14:34
Editor: Aimei
31 Oktober: Presiden mempengerusikan "Upacara Penubuhan Batalion Ketiga Briged Gabungan Ke-584 Pasukan Berperisai Tentera Darat dengan Peralatan Baharu Kereta Kebal M1A2T"
Foto rasmi oleh Lin Yen Ting / Pejabat Presiden
31 Oktober: Presiden mempengerusikan "Upacara Penubuhan Batalion Ketiga Briged Gabungan Ke-584 Pasukan Berperisai Tentera Darat dengan Peralatan Baharu Kereta Kebal M1A2T" Foto rasmi oleh Lin Yen Ting / Pejabat Presiden

Presiden Lai Ching-te hari ini (31 Oktober) mempengerusikan upacara penubuhan rasmi kereta kebal M1A2T Tentera Darat Taiwan di Hukou, Hsinchu.
Dalam ucapannya, beliau menyampaikan penghargaan kepada anggota tentera atas usaha keras mereka dan menegaskan bahawa pengukuhan pertahanan negara adalah demi melindungi tanah air, kerana hanya kekuatan sebenar yang mampu menjamin keamanan sejati.

Presiden Lai menegaskan bahawa status quo di Selat Taiwan mesti dikekalkan, dan Taiwan menolak keras konsep “Satu Negara Dua Sistem” serta sebarang usaha untuk menolak ke arah penyatuan paksa. Beliau sekali lagi menegaskan bahawa kedua-dua belah Selat tidak saling tertakluk antara satu sama lain, dan masa depan Taiwan hanya boleh ditentukan oleh 23 juta rakyatnya.

Taiwan membeli kereta kebal M1A2T Abrams daripada Amerika Syarikat, yang digelar sebagai “kereta kebal paling berkuasa di dunia.” Kumpulan pertama tiba di Taiwan pada penghujung tahun 2024, dan kini secara rasmi ditempatkan dalam Batalion Ketiga Briged Perisai 584. Presiden Lai sendiri hadir untuk memeriksa pasukan dan mengisytiharkan penubuhannya.

Beliau memuji pasukan tersebut sebagai unit pertama yang menerima kereta kebal M1A2T, berjaya menamatkan latihan khas, ujian menembak dan penilaian keberkesanan tempur dengan keputusan cemerlang — membuktikan keupayaan tinggi pasukan perisai Taiwan.

Presiden turut menyatakan bahawa penubuhan unit baharu ini menandakan permulaan kepada era baharu latihan, pemikiran, peralatan dan teknologi tentera, serta menyeru supaya semangat perang tidak simetri terus diperkukuh bagi meningkatkan keupayaan pertahanan, seiring dengan strategi nasional “pertahanan kukuh, penangkisan berlapis.”

Beliau menegaskan lagi bahawa memperkukuh pertahanan bukan bermakna mahu berperang, tetapi untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan. Menurutnya, keamanan tidak akan tercapai hanya dengan menandatangani perjanjian atau menerima tuntutan penceroboh. “Hanya kekuatan yang sebenar mampu membawa keamanan yang sejati,” tegasnya.

Dalam ucapannya, beliau berkata:

“Kita mesti kekal tegas tanpa tunduk, mengekalkan status quo, menentang pencerobohan dan penyatuan paksa, menolak konsep ‘Satu Negara Dua Sistem’. Kita akan terus mempertahankan sistem perlembagaan demokratik, menegaskan bahawa Republik China dan Republik Rakyat China tidak saling tertakluk, mempertahankan kedaulatan Taiwan daripada sebarang bentuk penaklukan, dan berpegang bahawa masa depan negara hanya boleh ditentukan oleh 23 juta rakyat.”

Presiden Lai turut menambah bahawa usaha rakyat Taiwan mempertahankan kedaulatan dan cara hidup demokratik tidak seharusnya dianggap sebagai provokasi, dan bahawa melabur dalam pertahanan adalah pelaburan untuk keamanan.

Sebagai penutup, beliau menyebut bahawa semasa muda beliau pernah berkhidmat di Divisyen 284 di Kinmen, iaitu pendahulu kepada Briged 584 masa kini. Oleh itu, beliau berharap semua anggota dapat meneruskan semangat “Pasukan Teng Bu” (登步部隊) untuk terus melindungi negara dan rakyat dengan tekad yang sama.

為提供您更好的網站服務,本網站使用cookies。

若您繼續瀏覽網頁即表示您同意我們的cookies政策,進一步了解隱私權政策。 

我了解