Skip to the main content block
::: Utama| Peta laman|
|
Language
Berita Terpopular
繁體中文 简体中文 English Français Deutsch Indonesian 日本語 한국어 Русский Español ภาษาไทย Tiếng Việt Tagalog Bahasa Melayu Українська Panduan Laman Web

Singapura Lulus Pindaan Undang-undang: Hukuman Lebih Berat bagi Kes Penipuan Termasuk Sebatan

04/11/2025 22:17
Editor: Eric Yong
Menurut laporan media Singapura, bagi membanteras jenayah penipuan, Parlimen Singapura telah meluluskan bacaan ketiga Rang Undang-undang Jenayah (Pindaan Pelbagai). (Gambar hiasan: freepik)
Menurut laporan media Singapura, bagi membanteras jenayah penipuan, Parlimen Singapura telah meluluskan bacaan ketiga Rang Undang-undang Jenayah (Pindaan Pelbagai). (Gambar hiasan: freepik)

Media Singapura hari ini (4 November) melaporkan bahawa Parlimen telah meluluskan bacaan ketiga Rang Undang-undang Jenayah (Pindaan Pelbagai) bagi membanteras jenayah penipuan. Penjenayah yang terlibat dalam kes penipuan akan berdepan hukuman termasuk sebatan. Individu yang memberikan kad SIM dan maklumat sistem pengesahan identiti digital Singpass kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan, jika disabit kesalahan, boleh dikenakan sehingga 12 sebatan.

Menurut laporan Lianhe Zaobao hari ini, Menteri Kanan Negara bagi Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Dalam Negeri, Sun Xueling, menjawab soalan ahli parlimen di Dewan. Beberapa ahli parlimen menyuarakan kebimbangan terhadap prinsip kesepadanan hukuman. Laporan menyatakan bahawa sebahagian ahli parlimen meragui keberkesanan hukuman sebatan dan mencadangkan pendekatan seperti tindakan disiplin serta memperkukuh pendidikan awam.

Sun Xueling menjelaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan merujuk kepada kesalahan yang serupa dalam menetapkan had hukuman sebatan bagi “keldai wang” (money mule). “Kami menilai bahawa hukuman maksimum 12 sebatan adalah munasabah, namun akan terus memantau keadaan. Mahkamah juga mempunyai budi bicara untuk menentukan jumlah sebenar sebatan, dengan mengambil kira prinsip kesepadanan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa pengenalan hukuman berat bukan satu-satunya pendekatan kerajaan dalam menangani penipuan. Kerajaan akan melaksanakan strategi menyeluruh melibatkan seluruh masyarakat untuk menangani jenayah penipuan. Menurut laporan 8world News, di bawah kerangka hukuman baharu, pesalah penipuan serta anggota atau perekrut sindiket penipuan, jika disabit kesalahan, boleh dikenakan sekurang-kurangnya 6 sebatan dan maksimum 24 sebatan.

The Straits Times melaporkan bahawa Sun Xueling menyatakan penipuan merupakan jenis jenayah paling lazim di Singapura, merangkumi kira-kira 60% daripada semua kes yang dilaporkan. Dari tahun 2020 hingga separuh pertama 2025, sebanyak 190,000 kes telah dilaporkan, melibatkan kerugian sekitar S$3.7 bilion (kira-kira NT$87.5 bilion). Undang-undang baharu ini juga membenarkan hukuman sebatan secara budi bicara bagi bentuk penipuan lain seperti penipuan tradisional.

Sebelum ini, pada bulan September tahun ini, polis Singapura telah melancarkan operasi penguatkuasaan dan menahan 260 individu yang disyaki terlibat dalam penipuan atau bertindak sebagai keldai wang, dengan jumlah kes melibatkan lebih S$5.1 juta. Mereka mungkin berdepan tuduhan penipuan, pengubahan wang haram atau menjalankan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen.

Selain hukuman sebatan, menurut undang-undang Singapura, jika disabit kesalahan penipuan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. Bagi kesalahan pengubahan wang haram, hukuman maksimum ialah penjara 10 tahun dan denda S$500,000, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan menjalankan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen, hukuman maksimum ialah penjara 3 tahun dan denda S$125,000, atau kedua-duanya sekali. (Penyunting: Yang Ling (楊翎) )

為提供您更好的網站服務,本網站使用cookies。

若您繼續瀏覽網頁即表示您同意我們的cookies政策,進一步了解隱私權政策。 

我了解