Berhubung dengan tindakan Pejabat Pendakwa Raya Taipei mendakwa kes kerosakan laman rasmi Radio Taiwan International (RTI) serta memohon hukuman berat terhadap tertuduh, RTI mengeluarkan kenyataan seperti berikut: Terima kasih kepada usaha pihak pendakwaan dan polis yang berjaya membongkar kebenaran insiden ini, sekali gus menggagalkan perbuatan jenayah yang mengancam operasi penyiaran antarabangsa RTI. Tindakan pantas pihak berkuasa juga berjaya membawa individu yang merosakkan dan membuat tuduhan palsu ke muka pengadilan, memastikan keselamatan infrastruktur penting negara. RTI turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh audit dalaman dan meningkatkan mekanisme perlindungan demi mempertahankan suara Taiwan di persada dunia.
Kenyataan penuh adalah seperti berikut:
Pada malam 11 September 2025, RTI mendapati laman web rasminya diceroboh oleh individu tidak dikenali. Terhadap siri perbuatan sabotaj yang menyasarkan teras sistem laman web dan infrastruktur penting ini, RTI segera menubuhkan pasukan siasatan dan perlindungan untuk mengumpulkan bukti, melakukan penyiasatan dalaman, serta membuat laporan kepada pihak pendakwaan dan polis. Hari ini (24hb), Pejabat Pendakwa Raya Taipei mengumumkan keputusan siasatan, dan telah menegaskan bahawa kes ini merupakan jenayah yang dilakukan secara sengaja oleh seorang kakitangan tidak berintegriti yang bersekongkol dengan kontraktor luar untuk mensabotaj sistem secara dalaman — dan bukan tindakan pendedahan salah laku (whistleblowing). Pihak terbabit telah didakwa dan dicadangkan untuk menerima hukuman berat.
RTI merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendakwa Raya Taipei, Jabatan Polis Bandar Taipei, agensi keselamatan negara, jabatan keselamatan digital kerajaan, serta institusi masyarakat yang bekerjasama sehingga insiden yang berpotensi menjejaskan keselamatan negara dapat dihentikan segera dan kebenaran didedahkan sepenuhnya.
RTI amat kesal dan kecewa bahawa segelintir kakitangan terlibat dalam perbuatan jenayah ini, malah bersekongkol dengan individu luar untuk melakukan serangan dalaman. Kakitangan berkenaan, seorang pekerja bernama Wu, telah dipecat kerana melanggar peraturan kerja dengan serius. Manakala seorang penyelia bernama Yue, yang gagal menjalankan tugas penyeliaan dan tidak melaporkan pengetahuan mengenai kes tersebut, dikenakan hukuman disiplin iaitu satu rekod kesalahan besar (major demerit). RTI juga akan mengambil tindakan lanjut berdasarkan fakta yang dinyatakan dalam surat dakwaan. Berhubung kerosakan imej dan kerugian harta yang dialami, RTI telah mengira jumlah kerugian dan akan menuntut ganti rugi sivil tanpa kompromi.
Kes ini merupakan sabotaj dalaman oleh kakitangan tidak berintegriti yang bersekongkol dengan individu luar, dan bukan serangan siber oleh penggodam. Ia juga bukan tindakan pendedahan salah laku seperti yang cuba didakwa bagi mengelirukan orang ramai. RTI akan terus menyiasat sama ada kakitangan berkenaan turut dipengaruhi oleh pihak luar secara tidak wajar. Walau bagaimanapun, RTI akan mengambil peluang ini untuk membuat penambahbaikan menyeluruh terhadap langkah pengurusan, termasuk memperkukuh kawalan dalaman dan pengawasan.
Pada masa hadapan, bagi pengambilan kakitangan, RTI akan memperketat proses penilaian risiko berdasarkan sifat tugas, termasuk menilai kompetensi dan kesesuaian calon. Bagi jawatan yang melibatkan akses kepada maklumat sensitif dan sistem keselamatan siber, RTI akan melaksanakan prinsip pengesahan berlapis, pengawalan akses mengikut peringkat, audit berkala, serta memperkukuh latihan keselamatan bagi meningkatkan kesedaran risiko. Melalui langkah ini, RTI berharap dapat meningkatkan daya ketahanan infrastruktur penting negara.
Radio Taiwan International (RTI)
24hb November 2025