Skip to the main content block
::: Utama| Peta laman|
|
Language
Berita Terpopular
繁體中文 简体中文 English Français Deutsch Indonesian 日本語 한국어 Русский Español ภาษาไทย Tiếng Việt Tagalog Bahasa Melayu Українська Panduan Laman Web

Majlis Anugerah “Hadiah Sastera Pekerja Migran ke-10” Diadakan pada 23 Hari Bulan – Menggalakkan Pemahaman Pelbagai Etnik

24/11/2025 18:42
Editor: Aimei
Timbalan Ketua Stesen Rti, Liu Jia-wei (kanan), hadir khas di Majlis Anugerah Hadiah Sastera Pekerja Migran ke-10.
(Foto oleh Liu Pin-xi)
Timbalan Ketua Stesen Rti, Liu Jia-wei (kanan), hadir khas di Majlis Anugerah Hadiah Sastera Pekerja Migran ke-10. (Foto oleh Liu Pin-xi)

Majlis penganugerahan “Hadiah Sastera Pekerja Migran ke-10” telah diadakan pada 23 haribulan di Dewan Lantai Catur Hitam Putih, Aras 1 Stesen Taipei. Ahli Parlimen DPP, Su Chiao-hui, yang menghadiri majlis itu berkata bahawa pertandingan sastera yang telah berlangsung selama sepuluh tahun ini memberi para pekerja migran di Taiwan “rasa seperti pulang ke rumah” melalui penulisan, serta membantu mewujudkan kenangan bersama dengan rakyat Taiwan.

Timbalan Ketua Stesen Radio Taiwan International (RTI), Liu Chia-wei, pula berkata bahawa “Hadiah Sastera Pekerja Migran” bukan sahaja menggalakkan pemahaman antara pelbagai kumpulan etnik, tetapi juga memberi peluang kepada para pekerja migran menulis dan merakam kisah hidup mereka sendiri.

Isu pekerja migran telah lama menjadi tumpuan masyarakat Taiwan. Tahun ini, edisi ke-10 pertandingan tersebut menerima 166 penyertaan dari lima negara. Para peserta daripada latar budaya yang berbeza menulis kisah kehidupan dan emosi sebenar mereka. Penilai bahasa ibu memilih 35 karya sebagai finalis, dan setelah diterjemah, akhirnya 8 karya berjaya meraih anugerah utama. Majlis penyampaian hadiah diadakan pada petang 23 haribulan di Stesen Taipei.

Ahli Parlimen Su Chiao-hui berkata bahawa pertandingan ini telah berkembang kukuh dalam tempoh sepuluh tahun dan menjadi wadah penting bagi memuatkan emosi dan kenangan para pekerja migran di Taiwan. Sepanjang 10 tahun ini, ramai pekerja migran telah menetap dan membina hidup di Taiwan, sementara masyarakat Taiwan juga telah menunjukkan perubahan besar dalam sikap terhadap mereka. “Hadiah Sastera Pekerja Migran” menjadi saksi perubahan signifikan ini.

Beliau berkata:

"(Rakaman asal) Pertandingan sastera ini adalah sesuatu yang diberikan kepada mereka yang datang ke Taiwan, supaya mereka merasakan seperti pulang ke rumah, dan supaya kisah mereka dapat diketahui. Kita melakukan perkara ini kerana mereka telah menjadi sebahagian daripada kita, berjalan bersama kita. Mereka boleh mengekalkan keunikan mereka, tetapi mulai sekarang kita adalah satu pasukan, bukankah begitu?"

Sebagai salah satu penganjur, RTI turut menghadiri majlis penganugerahan. Liu Chia-wei dalam ucapannya berkata bahawa Taiwan ialah sebuah masyarakat imigran, dan setiap orang datang ke Taiwan pada peringkat yang berbeza untuk menjadikannya rumah dan tempat membina kehidupan. Beliau berterima kasih kerana pertandingan ini menggalakkan pemahaman antara pelbagai kumpulan masyarakat serta membolehkan setiap orang berkongsi pengalaman hidup mereka.

Liu berkata:

"(Rakaman asal) Terima kasih kepada penganjur utama. Dengan ketekunan dan usaha anda selama 10 tahun, pertandingan ini dapat menjadi platform bagi masyarakat pelbagai etnik untuk saling mengenali dan memahami. Lebih penting lagi, melalui penulisan, setiap orang boleh merakam kisah hidup mereka dan membolehkan orang lain memahami pengalaman hidup yang unik."

Tahun ini, Hadiah Utama dimenangi oleh seorang peserta berusia 23 tahun dari Vietnam, Nguyễn Thị Hiền, dengan karya bertajuk “Kedai Gunting di Atas Bumbung”. Kisah ini menggambarkan watak A-Mei, seorang wanita Vietnam yang membuka kedai gunting kecil tanpa papan tanda di tingkat atas sebuah bangunan lama berhampiran pasar malam Taichung. Dia tidak mengenakan bayaran, hanya menerima mangga, biskut atau ucapan terima kasih. Walaupun telah lama merantau dan hidup tanpa tempat kembali, A-Mei menggunakan gunting dan sapaan lembut untuk menemani para pekerja migran dari pelbagai negara, menyembuhkan hati yang sedang terluka — sebuah kedai gunting yang bukan hanya merapi rambut, tetapi juga merawat jiwa.

Nguyễn Thị Hiền, ketika menerima anugerah, menyampaikan ucapan dalam bahasa ibundanya. Beliau berkata sangat berterima kasih kepada penganjur kerana memberi kesempatan kepada mereka yang tinggal di perantauan untuk berkongsi kisah hidup. Beliau juga berterima kasih kepada orang-orang di sekeliling yang memberikan kehangatan dan inspirasi. Anugerah ini menjadi dorongan besar baginya untuk terus menulis keindahan hidup sehari-hari.

Seorang lagi pemenang dari Vietnam, Chen Ming-he, meraih dua anugerah iaitu “Anugerah Pilihan Juri” dan “Anugerah Cadangan Panel Belia” dengan karya “Lumpur”. Kisah ini, dari perspektif generasi kedua imigran, menggambarkan pengalaman menemani ibu pulang ke Vietnam untuk melawat keluarga. Karya tersebut memaparkan kedalaman emosi dan hubungan dengan tanah kelahiran melalui isu jurang bahasa.

為提供您更好的網站服務,本網站使用cookies。

若您繼續瀏覽網頁即表示您同意我們的cookies政策,進一步了解隱私權政策。 

我了解