Presiden Lai Ching-te pada petang 14 haribulan menghadiri Majlis Kesyukuran Ulang Tahun ke-120 Penyebaran Ajaran oleh Patriark Baiyang, I-Kuan Tao(一貫道). Dalam ucapannya, Presiden menyatakan bahawa Taiwan sedang berdepan cabaran serius seperti geopolitik dan perubahan iklim ekstrem. Kerajaan kini giat menggalakkan pembinaan ketahanan pertahanan seluruh masyarakat, yang bukan hanya bergantung kepada tentera dan kerajaan, tetapi juga memerlukan penyertaan setiap lapisan masyarakat sivil. Dalam hal ini, pertubuhan keagamaan merupakan elemen yang tidak dapat dipisahkan dalam membina ketahanan tersebut.
Presiden Lai turut menegaskan komitmennya untuk melakukan segala yang termampu dalam memimpin rakyat memastikan keselamatan Taiwan, di samping memacu pembangunan ekonomi agar hasil pertumbuhan ekonomi dapat dikongsi bersama oleh seluruh rakyat.
Beliau berkata, dalam keadaan dunia yang sedang mengalami perubahan pesat, Taiwan berhadapan dengan ujian yang amat mencabar. Presiden berharap pertubuhan keagamaan dapat berdiri bersama kerajaan untuk bersama-sama membina ketahanan pertahanan seluruh masyarakat. Presiden berkata:
“Namun saya juga berharap semua pihak dapat memahami bahawa dunia hari ini sedang mengalami perubahan yang besar. Sama ada cabaran geopolitik atau bencana bersifat kompaun akibat iklim ekstrem, Taiwan sedang berhadapan ujian yang sangat serius. Demi melindungi tanah air kita bersama, kerajaan sedang giat membina ketahanan pertahanan seluruh masyarakat. Ia bukan hanya bergantung kepada tentera atau kerajaan, tetapi memerlukan sumbangan setiap lapisan masyarakat, dan pertubuhan keagamaan merupakan elemen yang tidak dapat dipisahkan dalam pembinaan ketahanan ini.”
Presiden Lai turut menjelaskan bahawa pada waktu biasa, pusat ibadat berperanan sebagai tempat pembinaan sahsiah, pengukuhan hubungan sosial dan penyatuan emosi masyarakat. Namun apabila bencana berlaku, ia boleh berfungsi sebagai pusat perlindungan kecemasan, pengagihan bekalan serta sokongan psikososial. Beliau berharap agar pertubuhan keagamaan terus mempromosikan kesedaran kesiapsiagaan bencana dan bekerjasama dengan kerajaan dalam membina sistem pencegahan bencana yang lebih kukuh di Taiwan, agar apabila negara memerlukan, ia dapat menjadi kekuatan sebenar dalam menstabilkan ketenteraman sosial serta membantu usaha penyelamatan dan pemulihan pascabencana.