Skip to the main content block
::: Utama| Peta laman|
|
Language
Berita Terpopular
繁體中文 简体中文 English Français Deutsch Indonesian 日本語 한국어 Русский Español ภาษาไทย Tiếng Việt Tagalog Bahasa Melayu Українська Panduan Laman Web

Lapangan Terbang Taoyuan Antara Paling Sibuk di Dunia, Penumpang Diingatkan Perkara Penting

26/12/2025 16:13
Editor: Winnie Lee
Lapangan Terbang Taoyuan Antara Paling Sibuk di Dunia, Penumpang Diingatkan Perkara Penting. Penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Taoyuan. (Foto: Perbadanan Lapangan Terbang Taoyuan)
Lapangan Terbang Taoyuan Antara Paling Sibuk di Dunia, Penumpang Diingatkan Perkara Penting. Penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Taoyuan. (Foto: Perbadanan Lapangan Terbang Taoyuan)

Menjelang musim perayaan akhir tahun, syarikat data penerbangan terbesar dunia, OAG (Official Aviation Guide), telah mengumumkan statistik terkini yang menunjukkan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan melonjak sebagai antara lapangan terbang paling sibuk di dunia. Seiring dengan pembukaan rasmi Koridor Utara Terminal 3 di Lapangan Terbang Taoyuan, pihak pengurusan lapangan terbang turut mengingatkan penumpang tempatan dan antarabangsa agar memberi perhatian kepada beberapa perkara penting semasa keluar dan masuk negara.

Menurut statistik terkini yang dikeluarkan oleh OAG, daripada 10 laluan antarabangsa paling sibuk di dunia bagi tahun 2025, sebanyak 7 laluan terletak di Asia. Laluan paling sibuk di dunia ialah Taipei (TPE) – Hong Kong, dengan kapasiti tempat duduk mencecah 6.83 juta. Di tempat kedua ialah laluan Kaherah – Jeddah dengan 5.75 juta tempat duduk. Sementara itu, laluan Tokyo Narita – Taipei (TPE) mencatat 4.02 juta tempat duduk, melonjak dari kedudukan ke-11 tahun lalu ke tempat ke-9 tahun ini, buat pertama kali memasuki senarai 10 teratas, serta meningkat sebanyak 22% berbanding sebelum pandemik pada tahun 2019.

Ini bermakna, daripada 10 laluan antarabangsa paling sibuk di dunia, dua laluan melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan.

Berikutan pembukaan rasmi Koridor Utara Terminal 3 pada 25 haribulan, Timbalan Pengurus Besar Lapangan Terbang Taoyuan, 李俊德 (Li Jun-de), mengingatkan semua penumpang bahawa kod lapangan terbang Taoyuan yang digunakan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) ialah TPE, manakala Lapangan Terbang Songshan Taipei menggunakan kod TSA. Namun demikian, masih terdapat penumpang tempatan dan antarabangsa yang tersilap menganggap TPE merujuk kepada Lapangan Terbang Songshan.

Selain itu, Li Jun-de turut mengingatkan penumpang asing bahawa mulai Oktober lalu, pengisian Kad Ketibaan Taiwan secara elektronik, atau TWAC (Taiwan Arrival Card), adalah percuma, dan disarankan agar permohonan dibuat tiga hari sebelum tarikh berlepas.

Memandangkan tempoh puncak perjalanan sempena sambutan Tahun Baharu, cuti musim sejuk dan Tahun Baru Cina bakal tiba, Li Jun-de menekankan bahawa perkara paling penting sebelum ke luar negara ialah memastikan pasport sah dan masih tempoh sah laku mencukupi. Beliau berkata:
“Di peringkat antarabangsa, pasport mesti mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan. Jika tidak, penumpang berisiko dihantar pulang atau ditolak untuk menaiki penerbangan. Oleh itu, penumpang perlu menyemak pasport lebih awal, sebaiknya satu hingga dua minggu sebelum tarikh berlepas, dan bukan pada saat akhir.”

Selain itu, pihak pengurusan lapangan terbang turut mengingatkan penumpang agar berhati-hati selepas keluar dari balai ketibaan. Sekiranya berhadapan dengan teksi yang secara aktif menawarkan perkhidmatan, termasuk kenderaan tanpa lesen atau perkhidmatan e-hailing yang tidak sah, ia adalah melanggar peraturan. Penumpang dinasihatkan untuk menggunakan teksi sah yang menunggu di lokasi ditetapkan, demi keselamatan dan perlindungan hak penumpang.

為提供您更好的網站服務,本網站使用cookies。

若您繼續瀏覽網頁即表示您同意我們的cookies政策,進一步了解隱私權政策。 

我了解