Skip to the main content block
::: Utama| Peta laman|
|
Language
Berita Terpopular
繁體中文 简体中文 English Français Deutsch Indonesian 日本語 한국어 Русский Español ภาษาไทย Tiếng Việt Tagalog Bahasa Melayu Українська Panduan Laman Web

AS Batalkan Lebih 100,000 Visa Susulan Pemeriksaan Imigresen Diperketat di Era Trump

15/01/2026 20:34
Editor: Wong Loteng
AS Batalkan Lebih 100,000 Visa Susulan Pemeriksaan Imigresen Diperketat di Era Trump
AS Batalkan Lebih 100,000 Visa Susulan Pemeriksaan Imigresen Diperketat di Era Trump

Washington — Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 12 Januari (waktu AS) memaklumkan bahawa lebih 100,000 visa telah dibatalkan sejak Presiden Donald Trump kembali ke Rumah Putih tahun lalu, sekali gus mencatat rekod baharu. Kerajaan Trump ketika ini sedang melaksanakan dasar imigresen yang lebih ketat.

Menurut laporan Reuters, skala pembatalan visa tersebut mencerminkan tindakan keras imigresen yang dilancarkan Trump selepas kembali berkuasa, termasuk peningkatan jumlah pengusiran dan melibatkan sebahagian individu yang memegang visa sah. Kerajaan Trump turut mengenakan kawalan lebih ketat terhadap pengeluaran visa, termasuk pemeriksaan media sosial dan perluasan prosedur penapisan.

Dalam satu kenyataan di platform X, Jabatan Negara berkata: “Jabatan Negara kini telah membatalkan lebih 100,000 visa, termasuk kira-kira 8,000 visa pelajar dan 2,500 visa khas, yang melibatkan individu yang pernah berhubung dengan agensi penguatkuasaan undang-undang AS kerana aktiviti jenayah. Kami akan terus menghantar pulang penjenayah ini demi keselamatan Amerika Syarikat.”

Timbalan jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott menjelaskan bahawa empat punca utama pembatalan visa ialah tinggal melebihi tempoh sah (overstay), memandu di bawah pengaruh alkohol, serangan, dan kecurian. Menurutnya, pembatalan visa meningkat sebanyak 150 peratus berbanding 2024.

Pigott turut memaklumkan bahawa Jabatan Negara telah menubuhkan “Pusat Pemeriksaan Berterusan” (Continuous Vetting Center) bagi memastikan “semua warga asing dalam wilayah AS mematuhi undang-undang AS dan bagi membatalkan dengan segera visa individu yang dianggap mengancam warganya.”

Pada November tahun lalu, Jabatan Negara menyatakan lebih 80,000 visa bukan imigran telah dibatalkan sejak Trump mengangkat sumpah pada 20 Januari, dengan alasan kesalahan seperti memandu di bawah pengaruh alkohol, serangan dan kecurian.

Selain itu, Jabatan Negara dilaporkan mengarahkan para diplomat AS di luar negara supaya lebih berwaspada terhadap pemohon yang dianggap Washington berpotensi bersikap bermusuhan terhadap AS atau terlibat dalam aktivisme politik.

Pegawai kerajaan Trump sebelum ini berkata pemegang visa pelajar dan penduduk tetap sah (green card) yang menyokong Palestin atau mengkritik tindakan Israel dalam perang di Gaza mungkin berdepan risiko diusir, dengan alasan tindakan tersebut boleh dianggap mengancam dasar luar AS. Mereka turut menuduh individu yang terlibat menyokong Hamas.

為提供您更好的網站服務,本網站使用cookies。

若您繼續瀏覽網頁即表示您同意我們的cookies政策,進一步了解隱私權政策。 

我了解