Timbalan Perdana Menteri Taiwan, Cheng Li-Chun, yang mengetuai pasukan perunding ke Amerika Syarikat dan berjaya mencapai hasil dalam rundingan tarif Taiwan–Amerika Syarikat, telah pulang ke Taiwan pada pagi hari ini (19 haribulan). Beliau kemudiannya mengiringi para “Penjawat Awam Teladan Peringkat Kebangsaan” untuk menghadap Presiden Lai di Pejabat Istana Presiden.
Presiden Lai menyatakan bahawa sepanjang setahun lalu, Taiwan berdepan pelbagai cabaran besar, termasuk tekanan berterusan daripada China, perubahan mendadak dalam persekitaran ekonomi dan perdagangan global, serta ujian bencana bersifat kompleks. Namun demikian, hasil usaha gigih para penjawat awam teladan serta perpaduan dan daya tahan rakyat Taiwan, negara ini tidak terhenti akibat kesukaran, sebaliknya terus mara ke hadapan dengan lebih berani dan tekad.
Memandangkan Cheng Li-chun, yang baru sahaja memimpin pasukan perunding ke Amerika Syarikat untuk memuktamadkan rundingan tarif, turut hadir dalam majlis tersebut, Presiden Lai secara khusus merakamkan penghargaan kepada Cheng dan pasukan perunding kerana berjaya memperjuangkan layanan setara dengan rakan sekutu utama Amerika Syarikat untuk Taiwan. Hasil ini membolehkan Taiwan memperoleh kelebihan daya saing terbaik dalam situasi global yang penuh ketidaktentuan. Presiden turut mengharapkan agar semua penjawat awam teladan dapat menzahirkan keberanian yang sama.
Presiden Lai berkata:
“Keputusan rundingan ini pasti akan mendorong Taiwan melangkah ke hadapan dengan kekuatan yang lebih besar. Inilah keberanian dan ketahanan rakyat Taiwan—walaupun berdepan angin kencang dari hadapan, kita tetap mara dengan langkah yang mantap. Pada tahun baharu ini, kita akan terus melangkah jauh ke hadapan. Saya berharap semua penjawat awam teladan, tanpa mengira bidang kepakaran masing-masing, terus memainkan peranan sebagai tunjang utama sistem perkhidmatan awam, dan bergerak maju bersama seluruh pasukan pentadbiran.”
Sebelum itu, Cheng Li-chun dan pasukan perunding telah tiba semula di tanah air pada pagi 19 haribulan. Perdana Menteri Cho JungTai hadir sendiri di Lapangan Terbang Antabangsa Taoyuan untuk menyambut kepulangan mereka. Beliau memuji pasukan tersebut kerana mencapai kemajuan serta hasil yang nyata dan bermakna, dan menegaskan bahawa rundingan ini telah menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Presiden Lai dan rakyat Taiwan.
Cheng Li-chun pula menyatakan bahawa rundingan tarif timbal balik Taiwan–Amerika Syarikat telah melalui tempoh sembilan bulan. Rundingan dengan pihak Amerika Syarikat mengenai kerjasama rantaian bekalan telah membuktikan satu perkara penting, iaitu teknologi dan industri Taiwan kini telah menjadi kuasa utama yang kritikal di peringkat global. Beliau turut merasakan bahawa dunia semakin memandang tinggi Taiwan dan memerlukan Taiwan. Kerajaan, katanya, akan terus menyokong peluasan antarabangsa industri, agar Taiwan yang semakin kukuh dapat melangkah ke pentas dunia dengan penuh keyakinan.
Cheng juga memaklumkan bahawa satu Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan kerjasama pelaburan telah ditandatangani terlebih dahulu dengan America Chamber , dan dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kedua-dua pihak dijangka menandatangani “Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Taiwan–Amerika Syarikat”. Beliau berkata, setelah kedua-dua perjanjian tersebut dimeterai sepenuhnya, “laluan terakhir” akan disempurnakan, sekali gus melengkapkan tugas yang diamanahkan oleh Presiden dan Perdana Menteri.