Skip to the main content block
::: Utama| Peta laman|
|
Language
Berita Terpopular
繁體中文 简体中文 English Français Deutsch Indonesian 日本語 한국어 Русский Español ภาษาไทย Tiếng Việt Tagalog Bahasa Melayu Українська Panduan Laman Web

Presiden Taiwan Anugerahkan Pingat Tertinggi kepada Markéta Pekarová Adamová

21/01/2026 15:21
Editor: Winnie Lee
Presiden Lai Ching-te (賴清德 kanan) menganugerahkan Pingat “Order of the Brilliant Star with Special Grand Cordon” kepada bekas Speaker Dewan Rakyat Czech, Markéta Pekarová Adamová (kiri). (Foto: Flickr Pejabat Presiden)
Presiden Lai Ching-te (賴清德 kanan) menganugerahkan Pingat “Order of the Brilliant Star with Special Grand Cordon” kepada bekas Speaker Dewan Rakyat Czech, Markéta Pekarová Adamová (kiri). (Foto: Flickr Pejabat Presiden)

Presiden Taiwan Lai Ching-te(賴清德) pada petang 20 haribulan telah menganugerahkan Pingat Order of the Brilliant Star with Special Grand Cordon kepada bekas Speaker Dewan Perwakilan Republik Czech, Markéta Pekarová Adamová, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam memperkukuh hubungan persahabatan antara Taiwan dan Republik Czech untuk jangka masa panjang.

Presiden Lai menyatakan bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerjasama antara Taiwan dan Republik Czech dalam bidang perdagangan, ekonomi dan pelaburan terus diperkukuh. Ini membuktikan bahawa hubungan perkongsian kedua-dua pihak bukan sahaja berasaskan nilai bersama, malah mempunyai potensi ekonomi yang nyata dan berpanjangan. Beliau berharap agar kedua-dua negara dapat terus mencipta lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan dan menulis lembaran baharu dalam perkembangan persahabatan Taiwan–Czech.

Presiden turut mengingatkan bahawa tiga tahun lalu, Markéta Pekarová Adamová tetap bertegas mengetuai delegasi lebih 160 orang melawat Taiwan walaupun berdepan tekanan antarabangsa yang besar. Lawatan tersebut telah menjadi mercu tanda baharu dalam hubungan Taiwan–Czech. Ucapan beliau ketika itu yang menekankan semangat “bersama Taiwan mengharungi cabaran” masih menyentuh hati masyarakat Taiwan sehingga hari ini.

Presiden juga menyebut bahawa pada tahun 2023, beliau pernah bersama Markéta Pekarová Adamová melawat Pameran Bandar Sifar Karbon. Ketika itu, beliau memetik kata-kata Markéta Pekarová Adamová bahawa Taiwan dan Republik Czech berdiri bersama hari ini, berdiri bersama pada masa depan, dan akan terus berdiri bersama dalam apa jua keadaan”. Pertemuan semula kedua-dua pihak di Pejabat Presiden pada hari ini sekali lagi membuktikan bahawa persahabatan Taiwan–Czech telah melangkaui masa dan ruang, serta menjadi semakin kukuh dan mendalam.

Presiden menegaskan bahawa Markéta Pekarová Adamová sejak sekian lama berani bersuara di peringkat antarabangsa demi keamanan Selat Taiwan dan keselamatan Indo-Pasifik. Beliau juga aktif mendorong resolusi mesra Taiwan di Parlimen Czech, serta secara peribadi membantu merealisasikan pameran artifak Muzium Istana Nasional Taiwan di Republik Czech. Semua usaha ini merupakan manifestasi nyata semangat bersama Taiwan. Presiden percaya bahawa Markéta Pekarová Adamová akan terus menjadi antara penggerak terpenting dalam kerjasama TaiwanCzech pada masa akan datang.

Presiden Lai turut menyatakan bahawa kerjasama antara Taiwan dan Republik Czech dalam bidang perdagangan, pelaburan dan teknologi semakin menunjukkan hasil melalui pelbagai memorandum persefahaman yang telah ditandatangani. Beliau berharap kedua-dua negara dapat terus memperluaskan kerjasama dan memperkukuh hubungan dua hala.

Dalam ucapan balasnya, Markéta Pekarová Adamová menyatakan rasa amat berbesar hati menerima pingat tersebut yang dianugerahkan sendiri oleh Presiden Lai. Beliau menegaskan bahawa Republik Czech merupakan sebuah negara yang sangat memahami nilai kebebasan melalui sejarahnya sendiri, serta kepentingan mempertahankan demokrasi, hak asasi manusia dan hak setiap negara untuk menentukan masa depannya. Atas sebab itu, Taiwan mempunyai kedudukan yang sangat istimewa di hati rakyat Czech sebagai rakan yang berkongsi nilai, keberanian, serta kepercayaan terhadap dunia yang terbuka dan aman.

Markéta Pekarová Adamová menekankan bahawa pingat ini bukan sekadar satu penghormatan peribadi, tetapi juga simbol persahabatan antara Taiwan dan Republik Czech, serta satu komitmen berterusan untuk membina lebih banyak jambatan hubungan antara kedua-dua negara, budaya dan rakyat. Beliau turut menyatakan sokongan tulus ikhlas terhadap Taiwan dan masa depan keamanan Taiwan.

為提供您更好的網站服務,本網站使用cookies。

若您繼續瀏覽網頁即表示您同意我們的cookies政策,進一步了解隱私權政策。 

我了解