Skip to the main content block
::: Utama| Peta laman|
|
Language
Berita Terpopular
繁體中文 简体中文 English Français Deutsch Indonesian 日本語 한국어 Русский Español ภาษาไทย Tiếng Việt Tagalog Bahasa Melayu Українська Panduan Laman Web

Kajian: 90% pekerja sanggup bayar untuk bersukan, perbelanjaan bulanan mencecah NT$887.

06/02/2026 22:22
Editor: Sing Yee
Golongan pekerja (Gambar arkib Rti)
Golongan pekerja (Gambar arkib Rti)

Dengan dorongan kerajaan dalam mempromosikan sukan untuk semua serta pelaksanaan dasar “mata wang sukan”, penglibatan golongan pekerja terhadap aktiviti sukan semakin meningkat. 1111 Job Bank hari ini (6hb) mengumumkan hasil kajian yang menunjukkan sehingga 90% pekerja sanggup membayar untuk bersukan setiap bulan, dengan purata perbelanjaan sebanyak 887 dolar Taiwan, membuktikan bahawa insentif dasar dan kesedaran kesihatan bersama-sama mendorong peningkatan kuasa perbelanjaan dalam sukan.

Seorang wanita berusia 27 tahun bernama Amy, fasih berbahasa Inggeris dan Jepun, pernah bekerja dalam industri teknologi kewangan dengan pendapatan tahunan jutaan dolar Taiwan. Namun, lebih tiga tahun lalu beliau mula meminati aktiviti menyelam dan kini beralih kerjaya sebagai jurulatih selam profesional. Walaupun pendapatan tahunannya kini sekitar 700 ribu dolar Taiwan, beliau tetap berasa puas. Katanya, Ketika itu saya rasa walaupun dapat banyak wang, saya tidak memperoleh kebahagiaan yang saya harapkan. Sebaliknya, setiap kali menyelam saya merasakan pencapaian dan kepuasan diri yang lebih tinggi. Jadi saya fikir, adakah mungkin saya boleh menggabungkan kedua-dua perkara ini.

Kajian “Tabiat Sukan dan Rekreasi Pekerja 2026” yang dijalankan oleh 1111 Job Bank berdasarkan 1,077 soal selidik sah menunjukkan bahawa 76.9% pekerja menilai diri mereka kurang bersukan, manakala 30.4% langsung tiada tabiat bersukan. Punca utama ialah terlalu sibuk bekerja, kekurangan tenaga, tidak mahu berbelanja besar, serta tiada teman untuk bersukan bersama.

Bagi mereka yang mengekalkan tabiat bersukan, 42.6% bersukan antara 30 hingga 60 minit setiap kali. Selain itu, 90.3% pekerja sanggup membayar untuk bersukan setiap bulan dengan purata perbelanjaan 887 dolar Taiwan. Sebab utama ialah “mengurangkan risiko penyakit”, diikuti dengan “pengurusan bentuk badan”. Aktiviti sukan paling popular ialah “lari jalanan dan berbasikal”, diikuti dengan “TRX, latihan beban, dan larian perlahan”.

Jurucakap 1111 Job Bank, Chuang Yu-chieh, menganalisis bahawa kesedaran kesihatan rakyat semakin meningkat, dengan lebih ramai memberi perhatian kepada bentuk badan dan kekuatan otot teras. Pusat kecergasan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, dan semakin menuju ke arah kelas kecil, perkhidmatan tersuai, serta fleksibiliti. Hal ini turut meningkatkan peluang pekerjaan berkaitan dengan ketara. Katanya, “Di platform dapat dilihat bahawa bilangan pekerjaan berkaitan sukan atau kesihatan hidup semakin meningkat, dengan kadar pertumbuhan tahunan mencapai 18.7%. Jelas sekali permintaan bertambah, maka peluang pekerjaan juga bertambah.”

Kajian turut menunjukkan lebih 90% responden mengakui bahawa bersukan membantu meningkatkan prestasi kerja. Mereka berharap syarikat dapat menyediakan subsidi kecergasan atau kursus sukan, kursus rekreasi untuk mengurangkan tekanan, serta cuti bersukan selama satu jam seminggu tanpa potongan gaji.

為提供您更好的網站服務,本網站使用cookies。

若您繼續瀏覽網頁即表示您同意我們的cookies政策,進一步了解隱私權政策。 

我了解