Skip to the main content block
::: Utama| Peta laman|
|
Language
Berita Terpopular
繁體中文 简体中文 English Français Deutsch Indonesian 日本語 한국어 Русский Español ภาษาไทย Tiếng Việt Tagalog Bahasa Melayu Українська Panduan Laman Web

Menstabilkan bekalan air untuk industri AI dan pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menyasarkan Kaohsiung dan Chiayi bagi pembinaan loji penyahgaraman air laut.

08/02/2026 21:48
Editor: Sing Yee
Gambar illustrasi air (Pixabay)
Gambar illustrasi air (Pixabay)

Bagi menstabilkan bekalan air untuk industri berteknologi tinggi, loji penyahgaraman air laut di Hsinchu dan Tainan kini sedang giat dibina, dan dijangka siap serta mula menghasilkan air pada tahun 2027 dan 2028. Pentadbiran Sumber Air di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi memaklumkan bahawa selepas menilai keperluan penggunaan air di pelbagai kawasan serta mengambil kira trend lima industri kepercayaan utama seperti AI dan industri pertahanan, fasa seterusnya akan menumpukan pembinaan loji penyahgaraman di Kaohsiung dan Chiayi. Ketika ini, projek tersebut masih berada pada peringkat penilaian kebolehlaksanaan.

Memandangkan industri semikonduktor menggunakan jumlah air yang sangat tinggi, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sedang menggalakkan pembinaan loji penyahgaraman di Hsinchu dan Tainan dengan kapasiti pengeluaran harian sebanyak 100,000 tan. Kos pembinaan masing-masing dianggarkan sebanyak NT$12 bilion dan NT$16 bilion, dan dijangka siap serta mula membekalkan air pada tahun 2027 dan 2028. Air hasil penyahgaraman ini akan disalurkan ke dalam sistem bekalan air awam bagi meningkatkan kapasiti bekalan air.

Pentadbiran Sumber Air terus menilai keperluan penggunaan air di seluruh negara. Berdasarkan penilaian semasa, fasa seterusnya akan memfokuskan pembinaan loji penyahgaraman berskala besar di Kaohsiung dan Chiayi. Pegawai Pentadbiran Sumber Air menjelaskan bahawa permintaan air bukan sahaja datang daripada kilang wafer, tetapi juga daripada lima industri kepercayaan utama yang digalakkan kerajaan, seperti pusat data AI dan dron. Penilaian akan dibuat secara berterusan mengikut situasi semasa, di samping mengambil kira keperluan dasar kerajaan tempatan.

Namun begitu, kos pembinaan loji penyahgaraman adalah tinggi. Bagi menangani isu kos operasi pada masa hadapan, untuk projek loji penyahgaraman yang sedang dibina di Hsinchu dan Tainan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah mencapai kata sepakat dengan syarikat teknologi besar termasuk industri semikonduktor. Syarikat-syarikat ini akan membeli air hasil penyahgaraman sebagai mekanisme perlindungan semasa musim kemarau teruk. Selain itu, memandangkan sesetengah proses pengeluaran sensitif terhadap kualiti air, satu mekanisme “pertukaran air” turut diwujudkan, di mana syarikat boleh memohon pelaksanaannya, manakala Pentadbiran Sumber Air berperanan sebagai penyelaras.

Disebabkan keperluan kualiti air yang berbeza bagi setiap syarikat, serta trend ESG yang meningkatkan permintaan terhadap peralatan rawatan dan kitar semula air sisa, Syarikat Air Taiwan (Taiwan Water) turut bekerjasama dengan pengeluar peralatan rawatan air untuk mempromosikan konsep “bekalan air tersuai”. Salah satu sasaran pelanggan utama ialah kilang berteknologi tinggi, di mana pendekatan ini dapat membantu pengusaha mengoptimumkan proses pengeluaran sejak dari peringkat sumber.

Bagi memastikan keselamatan bekalan air untuk pengeluaran industri berteknologi tinggi, Pentadbiran Sumber Air terus menggalakkan pembinaan infrastruktur sumber air di tiga taman sains utama dan enam kawasan pembangunan utama. Projek-projek ini merangkumi penambahbaikan rangkaian paip bekalan air di Sanchong dan Luzhou, paip penghubung dari Shimen ke Hsinchu, paip penghubung Sungai Da’an–Dajia, penambahbaikan rangkaian paip dari Taichung ke Yunlin, pembangunan air bawah tanah sungai seperti Sungai Youluo, Da’an, Wu dan Laonong, pembinaan loji air kitar semula di Taoyuan, Taichung, Tainan dan Kaohsiung, serta pembinaan loji penyahgaraman di Hsinchu dan Tainan.

為提供您更好的網站服務,本網站使用cookies。

若您繼續瀏覽網頁即表示您同意我們的cookies政策,進一步了解隱私權政策。 

我了解