Skip to the main content block
::: Utama| Peta laman|
|
Language
Berita Terpopular
繁體中文 简体中文 English Français Deutsch Indonesian 日本語 한국어 Русский Español ภาษาไทย Tiếng Việt Tagalog Bahasa Melayu Українська Panduan Laman Web

Jepun Adakan Persidangan Khas, Takaiichi Sanae Dijangka Kekal Sebagai Perdana Menteri

17/02/2026 18:56
Editor: Eric Yong
Perdana Menteri Jepun, Takaiichi Sanae, dijangka berjaya menyambung jawatan. Foto arkib. (Gambar: Kediaman Perdana Menteri)
Perdana Menteri Jepun, Takaiichi Sanae, dijangka berjaya menyambung jawatan. Foto arkib. (Gambar: Kediaman Perdana Menteri)

Jepun akan mengadakan Persidangan Khas Parlimen ke-221 pada 18 Februari, termasuk pemilihan rasmi perdana menteri. Dengan sokongan Parti Demokratik Liberal (LDP), Parti Inovasi Jepun serta sebahagian parti pembangkang, Perdana Menteri sedia ada merangkap Presiden LDP, Takaiichi Sanae dijangka dipilih semula sebagai Perdana Menteri Jepun ke-105. Kabinet baharu beliau dijangka diumumkan pada malam yang sama.

Pertarungan Bajet Tahun 2026
Menurut laporan Jiji Press, proses perbahasan bajet tahun fiskal 2026 tertangguh akibat pembubaran Dewan Rendah dan pilihan raya. Takaiichi menegaskan akan berusaha memastikan bajet serta rang undang-undang berkaitan reformasi cukai diluluskan segera. Beliau menyatakan kemenangan besar LDP dalam pilihan raya membawa tanggungjawab besar, dan berjanji tidak akan berundur daripada sasaran meluluskan bajet sebelum 31 Mac.

Namun, pembangkang menolak perbahasan tergesa-gesa. Ketua strategi Parlimen Parti Demokratik Perlembagaan di Dewan Tinggi, Saito Yoshitaka menyifatkan usaha meluluskan bajet dalam tempoh sebulan sebagai “tindakan bunuh diri Parlimen”, menuntut masa perbahasan yang mencukupi.

Kabinet Baharu dan Agenda Parlimen
Pemilihan perdana menteri akan berlangsung serentak di Dewan Rendah dan Dewan Tinggi. Bekas Menteri Kehakiman LDP, Mori Eisuke dijangka dilantik sebagai Speaker Dewan Rendah. Kabinet baharu akan dibentuk selepas upacara rasmi di Istana Maharaja, dengan kebanyakan barisan lama dikekalkan.

Pada 20 Februari, Maharaja Jepun dijadual menghadiri majlis pembukaan Parlimen, diikuti ucapan dasar kerajaan oleh Takaiichi. Sesi soal jawab parti-parti akan bermula selepas 24 Februari. Persidangan khas ini dijadual berlangsung selama 150 hari sehingga 17 Julai. (Disunting oleh: Zhong Jinlong (鍾錦隆))

We use cookies to provide you with a better browsing experience.

By continuing to browse this site, you agree to our Cookie Policy. Learn more about our Privacy Policy

I understand
00:00
00:00
0.5x 1x 1.5x 2x