為提供您更好的網站服務,本網站使用cookies。
若您繼續瀏覽網頁即表示您同意我們的cookies政策,進一步了解隱私權政策。
Datuk Bandar Kaohsiung Chen Chi-mai(陳其邁) dijadual mengetuai delegasi kerajaan bandar itu melawat Amerika Syarikat pada Selasa petang bagi mempromosikan pembangunan bandar pintar.
Dalam sidang media pada pagi hari yang sama, beliau berkata Kaohsiung kini sedang beralih daripada bandar industri berat kepada transformasi dua hala yang menekankan pembangunan digital dan industri. Lawatan ke AS itu bertujuan memperkukuh keupayaan tadbir urus bandar, meningkatkan daya saing industri serta mempercepatkan integrasi Kaohsiung dengan rantaian bekalan global.
Menurut Chen Chi-mai, misi utama lawatan tersebut merangkumi tiga perkara, iaitu meningkatkan ketahanan rantaian bekalan semikonduktor Taiwan, mempromosikan penggunaan AI kedaulatan bandar (sovereign AI) dalam pentadbiran bandar, serta memperkukuh pertukaran latihan bakat dalam bidang semikonduktor dan kecerdasan buatan di peringkat antarabangsa.
Beliau menambah bahawa kerjasama antara Taiwan, Jepun dan Amerika Syarikat dalam sektor seperti bahan, pembungkusan serta peralatan semikonduktor amat penting untuk membina rantaian bekalan yang lebih lengkap, sekali gus memberi manfaat kepada industri semikonduktor Taiwan dan pembangunan industri masa depan Kaohsiung.
Selain itu, delegasi Kaohsiung juga akan menghadiri persidangan tahunan NVIDIA GTC di San Jose, California. Dalam acara tersebut, kerajaan bandar Kaohsiung akan mempamerkan penggunaan teknologi AI dan model bahasa besar dalam projek “AI kedaulatan bandar” bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar.
Pada masa yang sama, Datuk Bandar Taichung Lu Shiow-yen(盧秀燕) juga dijadual mengetuai delegasi kerajaan bandar itu melawat Amerika Syarikat pada malam yang sama untuk lawatan selama 11 hari, meliputi lima negeri dan sembilan kawasan pentadbiran.
Menurut Lu Shiow-yen, lawatan tersebut mempunyai tiga misi utama iaitu memperkukuh pertukaran antara bandar, berinteraksi dengan komuniti warga Taiwan di luar negara serta mempererat hubungan Taiwan–Amerika Syarikat melalui kerjasama kerajaan tempatan.
Delegasi Taichung turut merancang bertemu dengan komuniti perniagaan Taiwan di Amerika Utara, termasuk menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan North America Taiwanese Chambers of Commerce bagi memperluas peluang kerjasama industri dan pelaburan antara Taichung dan pasaran luar negara.
Selain itu, rombongan berkenaan juga akan berkunjung ke Washington D.C. untuk bertemu ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dalam kumpulan “Taiwan Caucus” serta beberapa institusi pemikir bagi bertukar pandangan mengenai isu tenaga, keselamatan serantau dan ekonomi global, dengan harapan dapat memperkukuh kepercayaan serta kerjasama antara Taiwan dan Amerika Syarikat.