為提供您更好的網站服務,本網站使用cookies。
若您繼續瀏覽網頁即表示您同意我們的cookies政策,進一步了解隱私權政策。
Presiden Taiwan, Lai Ching‑te pada 14 Mac menghadiri “Seminar Ulang Tahun ke-30 Pemilihan langsung Presiden Taiwan dan Ketahanan Demokrasi” yang dianjurkan oleh Taiwan Thinktank(Badan Pemikir Taiwan). Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa pilihan raya presiden secara langsung di Taiwan mempunyai tiga makna penting, iaitu:
Kedaulatan di tangan rakyat
Tonggak penting yang mengukuhkan demokrasi Taiwan
Taiwan ialah sebuah negara yang berdaulat
Presiden Lai menegaskan bahawa sejak Taiwan melaksanakan pilihan raya presiden secara langsung pada tahun 1996, kejayaan ini bukanlah sesuatu yang datang secara kebetulan, tetapi merupakan hasil perjuangan berani generasi terdahulu dalam gerakan demokrasi.
Pada 23 Mac 1996, seramai 11 juta rakyat keluar mengundi, dengan kadar penyertaan melebihi 75%. Hari itu menjadi detik bersejarah yang menunjukkan kuasa rakyat dalam menentukan masa depan negara.
Beliau berkata bahawa tiga makna utama pilihan raya presiden secara langsung adalah:
Pertama: Kedaulatan rakyat
Rakyat ialah pemilik negara dan juga “majikan” kepada presiden. Rakyat mempunyai hak untuk menentukan siapa yang akan memimpin negara.
Kedua: Tonggak penting demokrasi Taiwan
Melalui pilihan raya presiden secara langsung, rakyat Taiwan telah mengukuhkan legitimasi kerajaan dan keabsahan sistem demokrasi, sekali gus membawa Taiwan keluar daripada era pemerintahan autoritarian pada masa lalu.
Ketiga: Taiwan sebuah negara berdaulat
Sama ada namanya Republik China, Republik China Taiwan, atau Taiwan, ia tetap merupakan sebuah negara yang mempunyai kedaulatan.
Presiden Lai turut menegaskan bahawa Taiwan hari ini telah berkembang menjadi sebuah negara yang memiliki identiti baharu. Sebagai presiden semasa, beliau menegaskan bahawa walau sebesar mana tekanan yang dihadapi, Taiwan tidak akan kembali ke jalan pemerintahan autoritarian.
Dalam menghadapi ancaman ketenteraan dari China serta strategi keselamatan Amerika Syarikat yang menekankan konsep “pertahanan kolektif dan perkongsian tanggungjawab”, Taiwan perlu memperkukuh keupayaan pertahanannya.
Presiden turut menyatakan bahawa belanjawan pertahanan Jepun tahun ini mencecah sekitar NT$1.8 trilion, manakala Korea Selatan sekitar NT$1.4 trilion. Taiwan pula mencadangkan peruntukan khas pertahanan NT$1.25 trilion untuk tempoh 8 tahun, yang bersamaan kira-kira NT$156 bilion setahun, jumlah yang menurut beliau mampu ditanggung oleh pertumbuhan ekonomi Taiwan.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu melindungi kedaulatan negara, mempertahankan sistem demokrasi yang diperjuangkan sekian lama, serta menjaga hasil ekonomi rakyat. Oleh itu, peningkatan perbelanjaan pertahanan bertujuan membina “Perisai Taiwan”, termasuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membina sistem pertahanan dan tindak balas segera, di samping memajukan industri pertahanan domestik.
Menurut beliau lagi, belanjawan pertahanan bukan sekadar perbelanjaan keselamatan negara, tetapi juga pelaburan bagi pembangunan industri dan ekonomi.
Selain itu, mengenai kemungkinan lawatan Presiden Lai ke Eswatini, Menteri Luar Negeri Taiwan, Lin Chia‑lung menjelaskan bahawa tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 pemerintahan Raja Mswati III, selain menandakan ulang tahun ke-58 kelahiran baginda serta kemerdekaan negara Eswatini.
Kerajaan Eswatini telah menjemput ketua negara atau wakil dari pelbagai negara untuk menghadiri sambutan tersebut. Kementerian Luar Negeri Taiwan telah menerima jemputan rasmi dan kini sedang menilai perkara itu mengikut prosedur. Jika ada keputusan rasmi, ia akan diumumkan oleh Pejabat Presiden Taiwan.